Friday, November 13, 2009

5 DIMENSI PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA

HURAIKAN 5 DIMENSI PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA DAN BERIKAN PANDANGAN ANDA TENTANG PEMBELAJARAN BAHASA YANG BERKAITAN DENGAN SETIAP DIMENSI

Pendahuluan
Kamus Dewan (1996:305) menyatakan dimensi ialah sesuatu aspek. Jika dikaitkan dengan bahasa kedua (selepas ini bahasa kedua dieja B2) dimensi merujuk kepada aspek-aspek yang ditentukan penting dalam mempelajari B2. Sementara itu, dalam Kamus Linguistik (1997:31) bahasa Kedua ialah bahasa selain bahasa ibunda yang dipelajari secara formal atau tidak formal dan dari segi sosiobudaya dianggap sebagai bahasa sendiri. Contohnya, bahasa Inggeris di Malaysia.(bahasa sekunder).
Pembelajaran bahasa dalam Kamus Linguistik (1997:175) proses menguasai bahasa ibunda atau bahasa asing. Dalam hal ini, pembelajaran merujuk kepada sesuatu pendidikan formal secara sedar dan eksplisit berkaitan pengetahuan dan penguasaan bahasa. Dalam hal pemerolehan dan pembelajaran bahasa ini ialah bahasa kedua (B2).
Menurut Dr.Noor Aina Dani (2007:53), pembelajaran bahasa kedua terjadi dengan bermacam-macam cara, untuk tujuan yang pelbagai, dan pada peringkat kebahasaan yang berlainan.
Pembelajaran B2 bermula dengan ‘proses pengajaran dan pembelajaran’ . Terdapat 5 dimensi dalam pembelajaran B2, iaitu;
1. Mod Bahasa: Bertutur – Membaca,
2. Makna: Objek Sebenar / Situasi Terjemahan,
3. Tatabahasa: Eksplikasi – Induksi,
4. Psikologi: Behaviouris – Mentalis, dan
5. Linguistik: Behaviouris – Strukturalis.

1. Mod bahasa: Bertutur-Membaca
Kaedah yang digunakan boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu mereka yang mendekati bahasa melalui aspek – aspek bahasa lisan dan yang mendekati bahasa melalui kenal huruf. Kaedah tatabahasa terjemahan adalah satu-satu seumpamanya dalam kategori mengenal huruf. Yang lain menekankan pertuturan sebagai saluran utama untuk memperoleh B2. Walaupun guru yang menggunakan kaedah tatabahasa terjemahan memasukkan beberapa pertuturan dalam kurikulumnya, manakala guru yang menekankan pertuturan akan melibatkan bacaan dan tulisan, kedua-duanya adalah berasingan. Umumnya, kaedah-kaedah yang berasaskan pertuturan melihat kaedah tatabahasa terjemahan sebagai musuh utama. Bagi mereka, pertuturan perlu diutamakan dalam pembelajaran bahasa. Kepatuhan terhadap kaedah – kaedah yang berdasarkan pertuturan ini masih tidak dapat menghalang pengamal-pengamalnya hentam-menghentam sesama mereka.

Pandangan Terhadap dimensi ini
Pada awal pembelajaran B2 adalah lebih sesuai menggunakan pendekatan melalui aspek-aspek bahasa lisan. Aspek ini adalah lebih dahulu dan paling hampir dengan kaedah pemerolehan bahasa Pertama (B1) kanak-kanak. Pemerolehan B2 berlaku dengan berkesan sesudah seseorang menguasai B1. B1 disifatkan sebagai landasan atau dasar memperoleh bahasa B2. Ini selaras dengan pandangan W.M. Rivers (1964) bahawa kemahiran akan dicapai secara lebih berkesan kalau bentuk pertuturan dikemukakan dulu. Dengan kata lain, belajar mendengar dan bertutur itu adalah tabiat yang asas kalau dibandingkan dengan kemahiran menulis dan membaca. Ini kerana terdapat hipotesis yang menyatakan bahawa B1 digunakan sebagai alat untuk mengawal dan memandu ucapan dalam B2, sementara B2 belum dikuasai sepenuhnya.
Kemudian pembelajaran B2 amat sesuai dengan kaedah membaca. Melalui pembacaan pelajar dapat meniru dan membiasakan diri dengan B2 kerana kaedah memperkenalkan huruf dan diikuti dengan bacaan adalah kaedah yang mudah. Kaedah membaca tidak memerlukan penghafalan ataupun penggunaan tatabahasa secara aktif. Membaca ialah kebolehan memperoleh makna daripada teks. Dengan ini penekanan bacaan tidak sekadar mengenal perkataan yang dicetak tetapi menjurus kepada dimensi yang kedua iaitu berkaitan konsep dan makna.

2. Makna: Objek Sebenar/Situasi - Terjemahan
Dalam menyediakan makna butir-butir B2, kaedah terjemahan (dalam bahasa ibunda) mungkin digunakan seperti yang lazim bagi kaedah tatabahasa terjemahan. Sebagai contoh, pelajar Melayu yang belajar bahasa Itali mungkin diberitahu bahawa libro bermaksud buku, dan Come Sta bermaksud Apa khabar ? Makna perbendaharaan kata, frasa, dan ayat mungkin dipelajari dengan cara ini. Hal ini bertentangan dengan pemerolehan makna melalui pendedahan terhadap objek dan situasi sebenar dengan menggunakan bahasa Itali. Sebagai contoh, guru menunjukkan sebuah buku kepada pelajar dan berkata libro atau menunjukkan situasi dua orang sahabat berjumpa dan seorang berkata kepada sahabatnya Come Sta?

Pandangan terhadap dimensi ini
Selepas pelajar dapat bertutur dan membaca B2, yang mana pelajar dapat merasai dan meniru B2, pelajar sudah dapat menanggapi sesuatu konsep atau makna dalam B2. Kaedah ini dirancang dengan tujuan memberi kemahiran menulis selepas kemahiran bertutur, melalui penekanan terhadap pendedahan terhadap tatabahasa melalui tatabahasa terjemahan. Perlu diingat bahawa teori LAD (Language Acquisition Device) dan Tatabahasa Transfomasi Genaratif oleh Chomsky membuktikan bahawa para pelajar berkemampuan untuk membuat hipotesis tentang struktur bahasa dan makna B2 berdasarkan pengetahuan dan pengalaman B1. Ini sesuai dengan pendapat Bransfor dan Franks (1971) bahawa para pelajar menunjukkan pemahaman terhadap B2 lebih bergantung kepada semantik, iaitu makna lebih kekal dalam ingatan jika dibandingkan dengan struktur ayat berbanding kepada struktur-struktur ayat.

3. Tatabahasa:Eksplikasi - Induksi
Eksplikasi melibatkan penerangan dalam bahasa ibunda tentang peraturan tatabahasa dan struktur bahasa kedua. Sebagai contoh, dengan menggunakan bahasa Melayu guru menjelaskan kepada pelajar Melayu bahawa konstituen ayat dasar bahasa Inggeris ialah Subjek + Kata Kerja + Objek. (Mary menangkap bola – Mary catches the ball). Pembelajaran yang sama menggunakan induksi, pelajar dikehendaki meneroka konstituen ayat dasar bahasa Inggeris itu dengan sendiri. Dalam keadaan ini, mereka perlu mendengar beberapa ayat seperti “Mary catches the ball” sambil mengalami suatu situasi yang mana aksi itu berlaku atau melihat sebuah gambar dengan aksi sedemikian.
Pandangan terhadap dimensi ini
Dalam pembelajaran B2 secara formal, para pelajar mampu menerima peraturan dan struktur B2 dengan menggunakan kaedah tatabahasa terjemahan. B2 diterangkan menggunakan B1 untuk memberikan gambaran awal dan membantu pelajar menguasai tatabahasa dan struktur B2. Menurut Chomsky, B1 memberikan landasan tatabahasa sejagat atau innate grammar yang dapat membantu para pelajar menguasai B2. Chomsky juga menegaskan bahawa bahasa mempunyai aspek kreatif di dalamnya. Dengan menggunakan tatabahasa, seseorang itu dapat mewujudkan ayat yang gramatis yang tidak terhad banyaknya dan pendedahan B2 menggunakan bahasa ibunda juga membantu pelajar memperoleh dan menguasai B2 dengan baik.
Para pelajar memproses input B2 dengan cara menggabungkan beberapa elemen menjadi satu unit yang lebih besar merangkumi tahap fonologi, sintaksis dan semantik. Ini dapat dikuasai dengan latihan-latihan yang diberikan oleh guru. Latihan-latihan inilah yang dapat melibatkan para pelajar dalam pembelajaran B2.


4. Psikologi: Behaviouris – Mentalis
Andaian bagi sesuatu kaedah psikologi dapat membawa kesan yang kuat ke atas cara kaedah itu dihuraikan dengan jelas, tepat, dan digunakan. Behaviouris lebih suka kaedah latih tubi manakala Mentalis mahu pelajar berfikir tentang struktur ayat. Bagi Behaviouris, pelajar tidak perlu berfikir kerana tidak sesuai untuk pembelajaran bahasa. Orentasi psikologi telah menetapkan implikasi tentang bagaimana dan apa yang akan diajarkan oleh seseorang.
Pandangan terhadap dimensi ini
Salah satu daripada bidang yang kuat mempengaruhi pembelajaran bahasa ialah psikologi, iaitu melibatkan pelakuan dan tabiat manusia. Pembelajaran berlaku dengan adanya ransangan dan gerak balas. Sebab itulah dalam dimensi ini latihan dan latih tubi yang merupakan pendekatan behaviouris adalah salah satu aspek penting untuk memperoleh B2.
Pada saya, dalam mempelajari B2 para pelajar banyak mempelajari lakuan berbahasa melalui latih tubi yang disediakan dan diberikan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran dan bukan bahasa melalui pengamatan atau peniruan secara tidak sedar. Namun, secara tidak langsung dalam proses para pelajar menjawab latihan dan latih tubi, proses penerimaan B2 secara mentalis juga berlaku.

5. Linguistik: Strukturalis – Mentalis
Kepercayaan seseorang tentang konsep(pengertian) sesuatu ayat, peraturan tatabahasa dan struktur yang menjadi asas ayat itu akan membawa kesan ke atas apa yang diajarkan. Strukturalis menganalisis satu ayat seperti The boy jumped dengan menyusun ayat itu mengikut kelas katanya (Article + noun + verb) Tetapi mengikut Chomsky, dengan menyenaraikan kelas katanya kita tidak dapat menjelaskan makna ayat yang berlainan. Sebagai contoh, Chomsky mengemukakan dua ayat yang sama strukturnya, iaitu John is easy to please dan John is eager to please. Kelas kata kedua-duanya ayat adalah sama: Noun + verb + adjective +preposition (kata sendi). Mentalis yang diwakili oleh hubungan sintaksis yang menjadi asas ayat-ayat itu. Oleh itu, Mentalis akan berkata bagi ayat John is easy to please (mudah untuk menyukakan hati John) John ialah objek kepada please. Manakala John is eager to please (John ingin menyukakan hati) – John ialah subjek kepada please. Secara praktik, guru akan menggunakan penjelasan yang berlainan terhadap ayat-ayat di atas atau menyusun ayat-ayat di atas dengan persembahan yang berlainan berdasarkan teori linguistik yang diikutinya.
Pandangan terhadap dimensi ini
Pada dimensi ini penguasaan B2 sudah pada tahap yang tertinggi selepas melalui dimensi-dimensi sebelumnya. Dimensi ini menunjukkan bahawa suatu sifat bahasa, iaitu kreatif. Kita boleh menggunakan unsur-unsur yang terhad di dalam sesuatu bahasa itu dan menghasilkan ungkapan yang lebih besar, misalnya menggabungkan kata-kata, kita dapat menerbitkan sejumlah ayat yang tidak terbatas.
Pada tahap ini pembelajaran B2 sudah menerapkan konsep dan peraturan tatabahasa. Penghuraian tentang sesuatu struktur dalaman dan luaran B2 dilakukan dengan menganalisis binaan dan struktur ayat dalam memperoleh dan menguasai B2.

Kesimpulan
Pada dasarnya, terdapat dua faktor dalam pembelajaran B2, iaitu faktor psikologi yang merangkumi ekspikasi, induksi daya ingatan dan motor. Satu faktor lagi ialah faktor sosial yang merangkumi situasi semulajadi dan fomal di bilik darjah.


BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan. 1987. Isu-Isu Pembelajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Dewan(Edisi Ketiga). 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Linguistik. 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Noor Aina Dani. 2007. Pengantar Psikolinguistik. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn.Bhd.
Norhadi dan Roekhan (editor). 1990. Dimensi-Dimensi dalam Belajar Bahasa Kedua. Bandung: Penerbit Sinar Baru
Manggantar Simanjuntak. 1982. Aspek Bahasa dan Pengajaran. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise

No comments:

Post a Comment