Friday, November 13, 2009

KEPENTINGAN PROPOSISI DALAM PEMAHAMAN PERCAKAPAN

BINCANGKAN KEPENTINGAN PROPOSISI DALAM PEMAHAMAN PERCAKAPAN

Kamus Linguistik (1997: 193) menyatakan bahawa proposisi adalah dalam linguistik analisis semantik atau tatabahasa, unit makna yang terdiri daripada perkara yang dinyatakan dalam bentuk ayat penyata selapis. Misalnya, dalam ayat penyata, Ali membeli buku. Dianalisis dari aspek psikolinguistik bahawa kata Ali dan kata buku dalam ayat sebagai argumen, sementara kata membeli sebagai predikator.

Pemahaman percakapan pula bermaksud pendengar memanfaatkan bunyi-bunyi yang diucapkan oleh penutur untuk membina tafsiran tentang hal yang hendak disampaikan oleh penutur. Pemahaman juga bermaksud pembinaan tafsiran makna akhir yang menyerupai gambaran dalaman sesuatu ayat.
Sebagai contoh, penutur menyebut ayat berikut; Pelajar lelaki itu menulis surat. Pendengar akan cuba memahami ayat yang diujarkan oleh penutur tersebut. Susunan kata-kata adalah;
a. Pelajar
b. Lelaki
c. Itu
d. Menulis
e. Surat

Pendengar bukan mendengar perkataan-perkataan tersebut secara berasingan, tetapi pendengar memahami perkataan-perkataan tersebut terbina dalam satu ayat, Pelajar lelaki itu menulis surat. Pemahamannya melibatkan suatu entiti, iaitu pertamanya pendengar perlu mengecam dan memastikan golongan kata bagi perkataan-perkataan; pelajar, lelaki, itu. Perkataan-perkataan pelajar, lelaki, itu, bergabung dalam satu entiti iaitu merupakan satu frasa. Dianalisis dari segi aspek tatabahasa frasa tersebut merupakan frasa nama (FN). Perkataan surat terbina dalam satu entiti yang lain. Manakala perkataan menulis membentuk satu unit yang lebih besar iaitu menandakan satu peristiwa. Perkataan menulis membina entiti yang menyatukan kedua-dua frasa tersebut, Pelajar lelaki itu (FN) dan surat (FN).

Noam Chomsky (1965), menyatakan bahawa pemahaman melibatkan dua aspek iaitu, pertamanya apa yang didengar berdasarkan susunan perkataan-perkataan (struktur permukaan) dan keduanya maksud yang wujud akibat susunan perkataan tersebut (struktur dalaman). Kamus Linguistik (1997: 208) menjelaskan bahawa struktur permukaan (surface structure / superficial structure) Dalam tatabahasa generatif, pewujudan sintaksis peringkat akhir sesuatu ayat yang menjadi input kepada komponen fonologi, iaitu ayat sebenar yang diucapkan. Contohnya, dalam ayat Memandu kereta, Ahmad ialah struktur permukaan daripada struktur dalaman Ahmad memandu kereta. Kamus Linguistik (1997: 207) pula menjelaskan bahawa struktur dalaman (deep structure / underlying structure) Dalam tatabahasa generatif, pewujudan sintaksis abstrak sesuatu ayat, yang menentukan faktor yang mengawal interpretasi sesuatu ayat. Contohnya, ayat Ahmad memandu kereta dan Memandu kereta , Ahmad ialah dua ayat yang mempunyai struktur dalaman yang sama.

Proposisi amat penting dalam pemahaman sesuatu percakapan. Pemahaman bermula dengan mengenal pasti struktur permukaan (surface structure / suferficial surface) sesuatu ayat, iaitu perkataan-perkataan, susunan, dan golongan katanya. Kemudian pendengar perlu membina satu tafsiran makna. Pendengar akan menggunakan tafsiran-tafsiran makna yang telah terbina berdasarkan ayat yang didengar. Apabila mendengar sesuatu ayat atau pernyataan, pendengar akan cuba memahami dan memetik maklumat baru dan menyimpannya dalam ingatan di otak. Pada masa lainnya, apabila pendengar mendengar sesuatu pernyataan atau persoalan, pendengar akan mencari maklumat yang sepadanan dengan pernyataan atau persoalan itu. Kemudian, pendengar akan cuba mendapatkan jawapan berdasarkan apa yang ada dalam ingatan. Pendengar akan membuat keputusan yang bersesuaian dengan arahan dan permintaan yang didengarnya mengikut kemahuannya. Dalam hampir setiap keadaan, pendengar akan memikirkan tindakan yang sepatutnya diambil apabila mendengar sesuatu ayat. Pemahaman terhadap binaan proposisi ayat dapat membantu pendengar mentafsir ujaran yang diucapkan.

Selain itu, proposisi membantu pendengar terhadap proses-proses mental yang menjadi penggerak kepada pendengar yang membolehkannya bertindak selaras dengan tafsiran ayat yang didengar. Proses-proses mental itu ialah proses pembinaan (construction process) bermaksud cara pendengar membina sesuatu tafsiran ayat berdasarkan perkataan-perkataan yang terbit dari mulut penutur. Proses ini bermula dengan mengenal pasti struktur permukaan ayat dan berakhir dengan satu tafsiran yang berbentuk gambaran (representation) dalaman ayat. Apabila pendengar mentafsir sesuatu ayat, matlamatnya adalah untuk membina gambaran dalaman ayat. Contohnya, semasa mendengar ayat, Perempuan muda itu memandikan anak kecilnya. Pendengar tidak dibekalkan gambaran dalaman ayat tersebut. Oleh itu, pendengar mestilah dapat membina

5 pernyataan, iaitu;
1. perempuan,
2. perempuan muda itu,
3. anak,
4. anaknya kecil, dan
5. memandikan.

Pernyataan-pernyataan yang dibina itu mestilah saling berhubungan dengan perkataaan-perkataan yang didengar. Pendengar menghubungkan struktur permukaan ayat dengan gambaran dalaman ayat.

Proses mental kedua ialah penggunaan (utilization process) menyatakan bahawa cara pendengar menggunakan tafsiran ini untuk beberapa tujuan seperti menyimpan maklumat baru dan menjawab soalan mengikut arahan dan janji. Pendengar cuba mencari makna sesuatu ayat yang hendak disampaikan oleh penutur dalam proses pembinaan ayat. Pendengar mengetahui proposisi sesuatu ayat yang didengar, belum tentu dia dapat menggunakannya seperti yang dikehendaki oleh penutur. Matlamat proses penggunaan ayat adalah untuk menepati maksud penutur. Proses penggunaan ayat merupakan proses mental yang berlaku kepada pendengar sewaktu menggunakan sesuatu ayat yang bertepatan dengan maksud penutur.
Penutur menyampaikan tujuannya melalui 3 bahagian, iaitu lakuan bahasa, kandungan proposisi dan kandungan tematik. Lakuan bahasa terdiri daripada 5 kategori, iaitu;

1. gambaran – sewaktu menuturkan sesuatu gambaran ayat, penutur menyampaikan kepercayaannya tentang proposisi yang dianggap benar,
2. arahan – penutur mahu pendengar melakukan sesuatu atau melaksanakan beberapa tindakan berdasarkan arahan,
3. penglibatan – penutur melibatkan dirinya dengan beberapa tindakan,
4. penglahiran – penutur berhasrat untuk melahirkan perasaan, dan
5. deklarasi – deklarasi banyak digunakan dalam sistem budaya yang melibatkan pengambilan pekerja, upacara agama, undang-undang dan kerajaan. Pertuturan yang diucapkan membawa perubahan kepada sesuatu hubungan atau perkara.
Walau bagaimanapun, kedua-dua proses ini bukanlah dua proses yang berasingan. Ini kerana pendengar bekerjasama dengan penutur untuk menyimpan maklumat, menjawab soalan atau memenuhi permintaan kedua-duanya. Kerjasama antara penutur dan pendengar dapat memandu pemahaman dari mula iaitu mengenal pasti sesuatu perkataan, membina tafsiran dan menggunakan tafsiran dalam konteks munasabah hingga ke matlamat akhir untuk memenuhi jangkaan-jangkaan yang berpadanan antara penutur dan pendengar.

Proposisi juga mengandungi satu unit pernyataan dengan golongan kata yang bercampur-campur. Berdasarkan jadual 1 di bawah, dapat menjelaskan bahawa proposisi mengandungi pernyataan-pernyataan yang munasabah.

Jadual 1
Contoh ayat mudah dengan pemboleh ubah dan fungsi proposisi
Ayat Mudah Ayat dengan Pemboleh ubah Fungsi Proposisi
1. Aziz berlari
2. Aziz pelajar pintar
3. Aziz cubit adik
4. Aziz belajar di sekolah
5. Aziz tinggalkan adik
pada rakan A berlari
A pelajar pintar
A cubit adik
A belajar di B
A tinggalkan B pada C Berlari, A
Pelajar pintar, A
Cubit adik, A
Belajar di B, A
Tinggal B,C,A

Berdasarkan jadual di atas, setiap proposisi lahir sebagai satu unit kata kerja (berlari, belajar, cubit, tinggalkan ) atau kata adjektif (pintar) bersama dengan kata nama (Aziz, pelajar, adik, rakan). Jelaslah di sini, setiap proposisi merupakan ramalan tentang satu atau lebih daripada satu kewujudan atau entiti, iaitu;
1. meramalkan aktiviti berlari oleh Aziz,
2. meramalkan sifat Aziz pelajar yang pintar,
3. meramalkan perbuatan Aziz mencubit adik,
4. meramalkan aktiviti yang dilakukan oleh Aziz di sekolah, dan
5. meramalkan perlakuan Aziz tinggalkan adik kepada rakannya.

Seterusnya, proposisi juga penting kerana meramalkan entiti tentang sesuatu. Berdasarkan Jadual 1, ramalkan tentang; berlari, pelajar pintar, mencubit, belajar dan tinggalkan. Kata nama seperti Aziz, adik, sekolah, dan rakan boleh diubah dengan pembolehubah-pembolehubah A, B, C. Perkataan-perkataan yang dibina dalam ayat-ayat dalam Jadual 1 menunjukkan fungsi prosisi yang boleh diramal secara logik.
Salah satu fungsi proposisi ialah mementingkan sistem simbol. Sebagai contoh bagaimana fungsi tersebut, dalam ayat A berlari dengan pembolehubah, merujuk fungsi proposisi ayat tersebut menjadi berlari A. Berlari adalah merujuk satu fungsi dengan satu alasan (argumen). Berdasarkan Jadual 1, terdapat 5 fungsi proposisi berdasarkan 5 ayat yang dibina,
1. Berlari, A; Pelajar pintar, A; Cubit adik, A – fungsi satu tempat,
2. Belajar B,A – fungsi dua tempat; dan
3. Tinggalkan C, A, B – fungsi tiga tempat.

Pernyataan-pernyataan di atas menjelaskan tentang fungsi proposisi. Dalam bahasa Melayu, proposisi tersebut berfungsi sebagai kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi.

Proposisi juga memberikan maklumat. Dalam ayat, Aziz berlari memberikan maklumat tentang Aziz berlari. Proposisi berbeza dengan ayat, iaitu Aziz berlari ialah ayat yang boleh disebut tetapi proposisi Berlari (Aziz) adalah janggal. Berlari Aziz menggambarkan makna Aziz berlari. Oleh itu semestinyalah, dalam ayat terdapat susunan masa yang signifikan, Aziz disebut dahulu sebelum berlari.
Sementara itu, susunan alasan dalam proposisi tinggalkan (Aziz, adik, rakan) bahawa alasan pertama /Aziz/ ialah agen, keduanya /adik/ ialah objek dan ketiga /rakan/ sebagai objek tidak langsung.

Proposisi juga penting untuk membina satu konstituen. Pembinaan ini membentuk proposisi dalaman. Satu konstituen ialah satu kelompok perkataan yang boleh diganti dengan satu kata tanpa mengubah fungsi dan tanpa mengacaubilaukan bahagian ayat yang selebihnya. Jika diteliti ayat; Bapa budak itu menoreh pokok getah. Bapa budak itu ialah satu konstituen, entitinya /bapa/, /budak/, dan /itu/. Ini bermakna bahawa bapa itulah yang tua, bukan budak itu, atau pokok getah. Manakala /pokok getah/, entitinya ialah /pokok/ dan /getah/. Proposisi /menoreh/ yang ditambah kepada /bapa budak itu/ dan /pokok getah/ supaya menjadi ayat yang lengkap. Pendengar dapat mengenal pasti satu konstituen dan dapat menentukan proposisi dalaman ayat.

Terdapat hipotesis yang mengatakan bahawa sewaktu pendengar memahami sesuatu ayat, dia menceraikan ayat itu kepada konstituen- konstituennya dan bagi setiap konstituen dia akan membina proposisi yang bersesuaian. Dikatakan juga bahawa pendengar membina gambaran dalaman sesuatu ayat dengan menggunakan empat langkah, iaitu:


Langkah 1:
Pendengar mengambil pertuturan yang mentah (raw) dan mengekalkan gambaran fonologi pertuturan itu dalam ingatan yang aktif.

Langkah 2:
Pendengar menyusun gambaran fonologi pertuturan itu kepada konstituen-konstituen lalu mengenal pasti isi dan fungsi konstituen.
Langkah 3:
Semasa mengenal pasti isi dan fungsi setiap konstituen, pendengar membina gambaran sesuatu proposisi secara berterusan.

Langkah 4:
Selepas mengenal pasti proposisi untuk sesuatu konstituen, pendengar mengekalkannya dalam ingatan yang aktif. Dengan itu, berlakulah penghapusan gambaran fonologi daripada ingatan. Pendengar lupa setiap perkataan, yang kekal adalah makna.

Keempat-empat langkah ini bertindak serentak pada masa yang sama. Pendengar mungkin akan
a) mengenal pasti konstituen
b) sewaktu sedang mengambil pertuturan yang baru
c) sambil menghapuskan gambaran fonologi daripada ingatan
d) serta aktiviti- aktiviti yang lain.
Langkah- langkah ini dapat membantu kita memahami peranan struktur permukaan ayat dalam proses pemahaman.

Kesimpulannya, setiap ujaran penutur yang sampai kepada pendengar merupakan rantai pertuturan yang mengandungi bentuk pemikiran manusia. Bentuk pemikiran manusia mulai dari yang paling dasar adalah pengertian atau konsep, diikuti proposisi atau pernyataan dan akhirnya adalah penalaran. Pada dasarnya tidak ada proposisi tanpa pengertian atau konsep dan tidak ada penalaran tanpa proposisi.

3.0 LAMPIRAN




(from Denes & Pinson, 1993)


4.0 BIBLIOGRAFI

Abercrombie, D. 1967. Studies in Phonetics and Linguistics. Oxford: Oxford University Press.

Dennis Butler Fry. 1979. The Physics of Speech Chain. Cambridge: Cambridge University Press.

Kamus Dewan. 2006. Edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Linguistik. 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Peter Denes & Elliot Pinson. 1993. The Speech Chain. http://www.columbia.edu/itc/psychology/rmk/reading/Denes_Pinson 1-2

Randy Goldberg & Lance Rick. 2000. A Practices Handbook of Speech Coders. New York: CRC Press.

No comments:

Post a Comment