Friday, November 13, 2009

Penguasaan bahasa Inggeris merupakan syarat untuk menjadikan negara bangsa kita maju?

Negara kita sedang melalui tahap sepuluh tahun terakhir sebelum menjadi negara maju menjelang 2020. Dalam era menuju ke arah kemajuan, bidang pendidikan dan perkembangan ilmu pengetahuan memainkan salah satu peranan yang amat penting. Ini kerana bidang pendidikanlah yang menjadi landasan melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Salah satu polemik masyarakat baik golongan autoriti, intelek mahupun rakyat jelata mengenai kemampuan modal insan negara kita untuk menguasai ilmu dan kemahiran ialah kemampuan berbahasa Inggeris. Semua pihak beranggapan bahawa kegagalan dan kemampuan modal insan akan datang banyak dipengaruh sejauh mana penguasaan masyarakat terhadap bahasa Inggeris. Kekalutan ini menjadikan satu dilema kepada pencinta dan pejuang bahasa Melayu untuk mempertahankan status dan kemampuan yang dipegang selama ini terhadap kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.

Adakah benar bahawa bahasa Inggeris menjadi syarat utama kepada modal insan akan datang untuk menjadikan negara kita maju? Kita tidak boleh menyangkal bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di dunia dan sebahagian besar masyarakat dunia berhubung, menimba ilmu dan kemahiran, mentadbir dan hubungan sosial menggunakan bahasa tersebut. Malahan, sejak berzaman ilmu yang diperkenalkan dan diperkembang pada awalnya kebanyakan terbit dalam bahasa Inggeris. Daripada aspek inilah bahawa tidak salah mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris untuk melahirkan modal insan yang mapan dalam memajukan negara. Bertitik tolak daripada situasi inilah bahawa pertamanya, bahasa Inggeris penting untuk golongan yang bertanggungjawab secara langsung dalam perkembangan ilmu pengetahuan. Keduanya, masyarakat tidak perlu berasa tertekan dalam gejolak ini kerana mereka boleh menguasainya secara berperingkat dan berdasarkan keperluannya.

Golongan pertama yang dinyatakan tadi ialah golongan para intelek dan pakar-pakar setiap bidang. Golongan ini bertanggungjawab secara langsung dan sepenuhnya dalam menentukan penyebaran dan perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang dan kepakaran masing-masing. Golongan ini perlu menguasai bahasa Inggeris bagi memastikan mereka dapat menyalurkan ilmu yang diperoleh daripada banyak sumber untuk diperkembang dalam masyarakat Malaysia. Peranan mereka ini penting kerana terlibat secara langsung dan tekal dalam penterjemahan, pembentukan istilah dan perkembangan ilmu-ilmu tersebut. Mereka terlibat dalam dunia pendidikan dan penyediaan modal insan yang bertanggungjawab menjadikan negara ini maju. Oleh sebab itulah, penguasaan golongan ini dalam bahasa Inggeris menjadi faktor penentu terhadap tahap dan keberkesanan penyampaian dan penyebaran ilmu-ilmu pengetahuan yang amat penting untuk menjadikan negara ini maju.

Tambahan pula, penekanan dan kecenderungan terhadap ledakan ilmu dan maklumat dewasa ini dalam era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Contohnya, era ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama internet di Amerika Syarikat dan seterusnya dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris.

Mahu tidak mahu, perkembangan yang pesat terhadap ilmu dan maklumat telah membawa perubahan-perubahan yang pantas dalam mencorakkan bentuk ekonomi, struktur masyarakat dan persaingan yang sengit dalam pasaran dan perhubungan antarabangsa. Perubahan tersebut telah mewujudkan rantaian dan jaringan ekonomi dan perdagangan baru dunia. Di dalam konteks ini, pengetahuan merupakan nadi kepada segala bentuk perlakuan dan pemikiran manusia. Kewujudan bahasalah merupakan aspek penting dalam penyaluran maklumat dan pengetahuan, seterusnya memangkin kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.

Walau bagaimanapun, senario masyarakat di negara kita, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan jati diri masyarakat bahasanya. Bahasa Melayu bersifat terbuka dan berkembang dari semasa ke semasa sejak penjajahan Portugis, Inggeris dan Belanda, telah menerima istilah-istilah asing dan memperkayakan bahasa Melayu. Perkembangan ini telah berjaya menempatkan peranan bahasa Melayu menjadi media penyampaian pelbagai disiplin ilmu.

Banyak negara yang cuba mendaulatkan bahasa asing tetapi akhirnya tersungkur bahkan tidak mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa yang diciplaknya. Sebagai contoh, negara-negara Afrika yang menggunakan bahasa asing sebagai penghantar di sekolah-sekolah tidak dianggap negara maju. Sebaliknya negara-negara yang mendaulatkan bahasa sendiri seperti Jepun, Korea, Perancis, China dan Jerman tetap maju dalam pelbagai bidang. Di zaman Khalifah Al-Makmun didirikan pusat perkembangan ilmu, Bait Al-Hikmah yang giat menterjemahkan karya-karya besar dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu daripada tamadun Yunani ke dalam bahasa Arab. Cendikiawan-cendikiawan besar seperi Al-Khindi, Al-Farabi, Ibnu Tufayl dan Ibnu Rushd menguasai bahasa dan falsafah Yunani tetapi tidak pula timbul polemik pendewaan berlebihan kepada bahasa dan tamadun asing sehingga meminggirkan dan meremehkan bahasa dan budaya sendiri.

Lantaran itu, tidak salah mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris tetapi bukanlah syarat khusus untuk menentukan masyarakat dan negara kita maju. Tetapi perlulah dipastikan bahawa institusi pendidikan, golongan autoriti dan cendikiawan adalah aset dan medium penting untuk mengukuhkan lagi nilai dan keperluan bahasa Melayu di kalangan generasi muda bangsa yang mengambilkira penyerapan dan penyebatian kemajuan dan perkembangan ilmu dan maklumat.

Diteliti dari segi sejarah dan perkembangan penutur bahasa Melayu kini adalah melebihi 250 juta orang. Ini meletakkan status bahasa Melayu di tempat keempat berdasarkan jumlah penuturnya selepas bahasa Mandarin, Sepanyol dan Inggeris. Oleh itu tidaklah mustahil bahasa Melayu boleh menjadi bahasa komunikasi dan ilmu di seluruh dunia. Tepuk dada tanya selera.

Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa rujukan yang menjadi sumber ilmu tetapi bahasa Melayu juga mampu menjadi wahana penyalur ilmu dan kemajuan masyarakat dan negara. Biarlah kemajuan yang dicapai dan dinikmati adalah kemajuan yang mengikut acuan sendiri tanpa mengadaikan tamadun dan akal budi rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment